Bahagian 7: Akaun dan Audit

58. Penyenggaraan akaun

  1. Tiap-tiap koperasi berdaftar hendaklah menyebabkan disenggara rekod-rekod perakaunan dan rekod-rekod lain yang akan dengan secukupnya menerangkan transaksi-transaksi dan kedudukan kewangan koperasi berdaftar itu
    dan subsidiari atau subsidiari-subsidiarinya, jika ada, dan yang membolehkan disediakan, dari semasa ke semasa, akaun perdagangan dan untung rugi dan kunci kira-kira yang benar dan saksama serta apa-apa dokumen
    yang dikehendaki dikepilkan padanya dan hendaklah menyebabkan rekod-rekod itu disenggara mengikut cara yang akan membolehkannya diaudit dengan mudah dan sepatutnya.

  2. Tiap-tiap koperasi berdaftar hendaklah menyebabkan catatan-catatan yang sesuai dibuat dalam rekod perakaunan dan rekod-rekod lain dengan seberapa segera yang mungkin tetapi tidak lewat daripada tiga puluh hari
    dari selesainya transaksi-transaksi yang berhubungan dengan catatan-catatan itu.

  3. Tiap-tiap koperasi berdaftar hendaklah menyebabkan disediakan, dengan seberapa segera yang mungkin tetapi tidak lewat daripada dua bulan selepas tamatnya setiap tahun kewangan, akaun perdagangan dan untung rugi dan
    kunci kira-kira berserta dengan apa-apa dokumen lain yang dikehendaki bagi maksud pengauditan.

  4. Rekod-rekod yang disebutkan dalam subseksyen (1) hendaklah disimpan di pejabat berdaftar koperasi berdaftar itu atau di mana-mana tempat lain yang difikirkan patut oleh Lembaga dan hendaklah olehnya secara am atau
    khas dengan bertulis.

  5. Ketua Pendaftar boleh, dalam mana-mana kes tertentu, memerintahkan supaya rekod perakaunan dan rekod-rekod lain sesuatu koperasi berdaftar, termasuklah rekod perakaunan dan rekod-rekod lain subsidiari atau
    subsidiari-subsidiarinya, jika ada, dibuka untuk diperiksa oleh seseorang juruaudit yang diluluskan yang bertindak bagi pihak mana-mana anggota atau pegawai koperasi berdaftar itu, tetapi hanya apabila diberikan
    suatu akujanji secara bertulis kepada Ketua Pendaftar bahawa apa-apa maklumat yang diperolehi oleh juruaudit itu semasa pemeriksaannya tidak boleh didedahkan olehnya kecuali kepada anggota atau pegawai itu.

59. Penyata kewangan dan laporan Lembaga

  1. Tiap-tiap koperasi berdaftar hendaklah, pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada lapan belas bulan selepas pendaftarannya dan selepas itu sekurang-kurangnya sekali dalam tiap-tiap tahun kalendar, membentangkan,
    di mesyuarat agung tahunannya-

    1. akaun perdagangan dan untung rugi, penyata sumber-sumber dan penggunaan wang bagi tempoh semenjak akaun yang sebelumnya, atau, dalam hal akaun yang pertama, semenjak pendaftaran koperasi itu atau subsidiari
      atau subsidiari-subsidiarinya, jika ada, yang disediakan setakat tarikh yang tidak lebih daripada dua belas bulan sebelum tarikh mesyuarat agung itu.

    2. kunci kira-kira setakat tarikh akaun itu disediakan.

    3. laporan yang ditandatangani oleh atau bagi pihak Lembaga berkenaan dengan kedudukan hal-ehwal koperasi berdaftar itu dan subsidiari atau subsidiari-subsidiarinya, jika ada.

    4. laporan juruaudit yang disebutkan dalam seksyen 63, dan

    5. pandangan-pandangan Ketua Pendaftar yang disebutkan dalam subseksyen (2) tentang akaun-akaun dan kunci kira-kira koperasi berdaftar itu dan subsidiari atau subsidiari-subsidiarinya, jika ada.

  2. Akaun-akaun dan kunci kira-kira sesuatu koperasi berdaftar dan subsidiari atau subsidiari-subsidiarinya, jika ada, yang teraudit dengan sewajarnya hendaklah dikemukakan kepada anggota-anggotanya tidak kurang daripada
    lima belas hari dan kepada Ketua Pendaftar tidak kurang daripada tiga puluh hari sebelum mesyuarat agung tahunan, dan Ketua Pendaftar boleh memberikan apa-apa pandangan sebagaimana yang difikirkannya patut mengenai
    akaun-akaun dan kunci kira-kira itu.

  3. Tiap-tiap laporan yang berhubungan dengan perenggan (1)(c) hendaklah menyatakan, dengan butir-butir yang sesuai-

    1. sama ada atau tidak keputusan-keputusan operasi koperasi berdaftar itu dan subsidiari atau subsidiari-subsidiarinya, jika ada, dalam tempoh yang diliputi oleh akaun untung rugi itu telah, pada pendapat Lembaga,
      terjejas secara material oleh perkara-perkara yang abnormal sifatnya.

    2. amaun, jika ada, yang telah dibayar, diisytiharkan atau disyorkan supaya dibayar sebagai dividen.

    3. sama ada atau tidak apa-apa hal keadaan telah berbangkit yang menjadikan pematuhan kaedah yang sedia ada bagi pentaksiran aset atau liabiliti koperasi berdaftar itu mengelirukan atau tak sesuai.

    4. sama ada apa-apa liabiliti kontingen yang belum ditunaikan telah diakujanji oleh koperasi berdaftar itu atau oleh mana-mana subsidiarinya dalam tempoh yang diliputi oleh akaun untung rugi itu dan, jika demikian,
      amaunnya dan sama ada atau tidak apa-apa liabiliti kontingen sedemikian telah menjadi boleh dikuatkuasakan atau mungkin akan menjadi boleh dikuatkuasakan dalam tempoh dua belas bulan yang berikutnya yang akan
      menjejaskan secara material keupayaan koperasi berdaftar itu untuk memenuhi obligasi-obligasi-nya jika dan apabila obligasi-obligasi itu kena dipenuhi.

    5. selain daripada Akaun Rizab yang dikehendaki di bawah Akta ini, amaun, jika ada, yang dicadangkan dibawa kepada mana-mana kumpulan wang lain atau akaun rizab lain yang ditunjukkan secara nyata pada kunci kira-kira
      atau kepada mana-mana kumpulan wang lain atau akaun rizab lain yang akan ditunjukkan dengan nyata pada kunci kira-kira yang kemudiannya, dan

    6. jika Lembaga berpendapat bahawa jumlah aset semasa tidak akan sekurang-kurangnya menghasilkan nilai yang ditunjukkan baginya dalam akaun-akaun koperasi berdaftar itu, pendapatnya tentang amaun yang mungkin
      semunasabahnya diharapkan akan dihasilkan oleh aset semasa itu dalam perjalanan biasa perniagaan koperasi berdaftar itu.

  4. Dalam subseksyen (3), ungkapan "perkara-perkara yang abnormal sifatnya" termasuklah-

    1. apa-apa perubahan dalam polisi perakaunan yang diterima-pakai sejak laporan yang sebelumnya.

    2. apa-apa pemindahan kepada atau daripada rizab atau peruntukan.

    3. apa-apa penghapusan kira hutang lapuk yang substansial amaunnya.

    4. apa-apa perubahan dalam asas pentaksiran bagi kesemua atau mana-mana bahagian stok perniagaan atau kesemua atau mana-mana bahagian kerja yang sedang berjalan.

    5. apa-apa butiran yang luar biasa jenisnya atau nilainya yang terdapat dalam akaun-akaun itu, dan

    6. ketiadaan apa-apa butiran material yang biasanya dimasukkan ke dalam akaun-akaun itu.

  5. Tiap-tiap akaun perdagangan dan untung rugi dan kunci kira-kira yang dibentangkan di hadapan sesuatu koperasi berdaftar dalam mesyuarat agung tahunan, termasuk akaun untung rugi yang disatukan dan kunci kira-kira
    yang disatukan, hendaklah memberikan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan hal-ehwal koperasi berdaftar itu dan subsidiari atau subsidiari-subsidiarinya, jika ada

60. Pengauditan

  1. Tiap-tiap koperasi berdaftar hendaklah menyebabkan akaun-akaunnya diaudit sekurang-kurangnya sekali dalam tiap-tiap tahun kewangan oleh seseorang yang diluluskan oleh Ketua Pendaftar.

  2. Walau apa pun subseksyen (1), Ketua Pendaftar boleh, pada bila-bila masa, atas kehendaknya sendiri atau atas permohonan sesuatu koperasi berdaftar, mengaudit atau menyebabkan diaudit akaun-akaun mana-mana
    koperasi berdaftar.

61. Kelulusan bagi juruaudit koperasi-koperasi berdaftar

  1. Bagi maksud-maksud subseksyen 60(1), Ketua Pendaftar boleh, melalui perintah am atau khas secara bertulis, dan setelah dibayar apa-apa fee sebagaimana ditetapkan, meluluskan mana-mana orang yang kompeten untuk
    mengaudit akaun-akaun sesuatu koperasi berdaftar atau koperasi-koperasi berdaftar, mengikut mana-mana yang berkenaan, di bawah Akta ini jika-

    1. orang itu memohon secara bertulis kepada Ketua Pendaftar supaya diluluskan sedemikian, dan

    2. Ketua Pendaftar berpuas hati bahawa orang itu layak dan kompeten untuk diluluskan sedemikian.

  2. Tiada seorang pun boleh diluluskan untuk mengaudit dan tiada seorang pun boleh mengaudit akaun-akaun koperasi berdaftar yang sama bagi apa-apa tempoh berterusan yang melebihi enam tahun, tetapi orang sedemikian
    boleh diluluskan untuk mengaudit dan boleh meneruskan pengauditan akaun-akaun sesuatu koperasi berdaftar dua tahun selepas dia berhenti mengaudit akaun-akaun koperasi berdaftar itu.

  3. Bagi maksud-maksud subseksyen (2), kelulusan bagi suatu tempoh yang lebih lanjut untuk seseorang juruaudit, selepas sahaja dia berhenti bertindak sebagai juruaudit koperasi berdaftar yang sama, hendaklah ditafsirkan
    sebagai menjadikan tempoh itu berterusan.

62. Kelulusan bagi juruaudit koperasi-koperasi berdaftar

Tiada seorang pun boleh diluluskan untuk mengaudit akaun-akaun sesuatu koperasi berdaftar atau, jika dia sudah pun diluluskan sebagai juruaudit, boleh mengaudit akaun-akaun sesuatu koperasi berdaftar atau membuat apa-apa jua
yang dikehendaki supaya dibuat oleh seseorang juruaudit di bawah Akta ini jika-

  1. dia dengan apa-apa cara berhutang dengan koperasi berdaftar itu atau dengan mana-mana subsidiarinya bagi sejumlah wang yang melebihi sepuluh ribu ringgit.

  2. dia ialah pegawai koperasi berdaftar itu atau pekongsi pegawai itu dalam apa-apa perusahaan.

  3. dia ialah pekerja koperasi berdaftar itu atau pekongsi pekerja itu dalam apa-apa perusahaan.

  4. dia ialah pekerja seseorang pegawai koperasi berdaftar itu atau pekerja seseorang pekerja sedemikian, atau

  5. dia telah disabitkan atas apa-apa kesalahan di bawah Akta ini, atau Akta Syarikat 1965 atau atas apa-apa kesalahan yang melibatkan fraud atau ketakjujuran di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

63. Kewajipan-kewajipan juruaudit

  1. Juruaudit sesuatu koperasi berdaftar hendaklah memeriksa dan mengaudit akaun-akaun dan rekod-rekod relevan yang lain koperasi berdaftar itu dan hendaklah dengan serta-merta menarik perhatian Ketua Pendaftar dan koperasi
    berdaftar itu tentang apa-apa luar aturan yang didedahkan oleh pemeriksaan dan pengauditan itu, yang pada pendapat juruaudit itu, adalah secukupnya penting untuk menjustifikasikannya berbuat demikian.

  2. Juruaudit sesuatu koperasi berdaftar hendaklah mengaudit dan memberi laporan mengenai penyata-penyata kewangan yang dikemukakan oleh koperasi berdaftar itu selepas tutupnya tahun kewangan itu.

  3. Juruaudit sesuatu koperasi berdaftar hendaklah, berkenaan dengan akaun-akaun, rekod-rekod dan penyata-penyata yang disebutkan dalam subseksyen (1) dan subseksyen (2), memberikan laporan-

    1. sama ada penyata-penyata kewangan sedemikian memberikan gambaran yang benar dan saksama tentang transaksi-transaksi kewangan dan kedudukan hal-ehwal koperasi itu, dan.

    2. apa-apa perkara lain yang berbangkit daripada pengauditan itu sebagaimana yang difikirkannya patut dilaporkan.

    dan hendaklah menyatakan dalam laporannya sama ada-

    1. rekod-rekod perakaunan dan rekod-rekod lain yang sepatutnya telah disimpan, dan

    2. penerimaan, perbelanjaan dan pelaburan wang dan perolehan dan pelupusan aset-aset oleh koperasi berdaftar itu dalam tahun itu adalah mengikut Akta ini, peraturan-peraturan dan undang-undang kecil koperasi
      berdaftar itu.

  4. Juruaudit sesuatu koperasi berdaftar boleh pada bila-bila masa lain melaporkan kepada Ketua Pendaftar dan koperasi berdaftar itu tentang apa-apa perkara yang berbangkit daripada perlakuan pengauditan itu.

  5. Pengauditan akaun-akaun sesuatu koperasi berdaftar hendaklah termasuk suatu penelitian akan dan laporan mengenal hutang-hutang belum jelas, jika ada, dan penelitian akan dan laporan mengenai nilaian aset-aset dan
    liabiliti-liabiliti koperasi berdaftar itu.